Sample F2 : Petikan Umum
TINGKATAN 2 : PEMBELAJARAN MINGGU KE-1
Soalan Objektif : Petikan Umum [6 markah]
Menurut Kamus Dewan Perdana, tulisan Jawi ialah tulisan yang mengandungi huruf Arab akan beberapa lagi huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Terdapat enam huruf Jawi tambahan dalam bahasa Melayu, iaitu ca, pa, ga, nga, va, dan nya. Berbeza dengan tulisan Rumi, tulisan jawi ditulis dari kanan ke kiri.
Tulisan Jawi dipercayai wujud sekitar tahun 1300 Masihi dan merupakan sistem tulisan induk bagi Kepulauan Melayu pada suatu masa lalu. Kini, walaupun abjad Rumi telah digunakan secara meluas, tulisan Jawi masih dipelihara dan digunakan oleh masyarakat Melayu di dunia seperti masyarakat Melayu di Malaysia, komuniti Pattani di Thailand dan beberapa penempatan Melayu di Indonesia.
Kehadiran tulisan Jawi ini juga dikaitkan dengan bukti kedatangan agama Islam di rantau ini, khususnya kedatangan orang Parsi ke Tanah Melayu. Dengan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran orang Melayu pada zaman dahulu, tulisan Jawi diubah suai agar bersesuaian dengan sebutan bahasa Melayu. Fakta ini dibuktikan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah (1303 Masihi)
(Dipetik daripada Dewan Pelajar “Sahibba Jawi”)
