Sample F3 : Ringkasan

TINGKATAN 3 : PEMBELAJARAN MINGGU KE-5

Ringkasan [15 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang panduan menguasai bahasa asing. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

________________________________________________________

Setiap individu berupaya menguasai pelbagai bahasa asing yang diingini, namun bergantung pada usaha dan kemahuan diri sendiri. Terdapat beberapa panduan mudah yang membolehkan seseorang menguasai bahasa asing dengan baik. 

Antaranya kita mestilah menetapkan matlamat mempelajari bahasa asing. Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, sudah tentu setiap individu mempunyai niat atau matlamat. Niat dan matlamat itulah yang akan mendorong seseorang untuk menguasai bahasa asing yang dipilih dengan bersungguh-sungguh dan gigih. Individu tersebut perlu menetapkan bahasa yang ingin dipelajari, tempoh (jangka masa pendek atau jangka masa panjang) dan kaedah pembelajaran (secara bersemuka atau secara maya atau belajar secara bersendirian).

Pengurusan masa dengan baik dan cara belajar dengan bijak dapat menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang untuk mempelajari bahasa asing. Disyorkan agar memperuntukkan masa selama tiga jam dalam seminggu untuk membuat kad imbas, latihan ulang kaji, membuat nota kecil dan berbincang dengan rakan atau guru sekiranya mempunyai keraguan dalam pemahaman bahasa tersebut. 

Inti utama untuk mempelajari bahasa asing adalah dengan menguasai kosa kata. Pada peringkat awal, seseorang individu hanya mempelajari lebih kurang antara 50 hingga 200 kosa kata baharu. Setelah itu, semakin tinggi tahap bahasa yang dipelajari semakin meningkat bilangan kosa kata yang perlu dikuasainya. Bagi menguasai kosa kata tersebut, pelbagai cara boleh digunakan. 

Memahami peraturan tatabahasa yang terkandung dalam bahasa asing yang dipelajari juga merupakan inti utama untuk mempelajari bahasa asing. Pemahaman ini dapat membantu anda menguasai bahasa asing dengan mudah dan cepat. Sekiranya wujud masalah untuk memahami topik tatabahasa, anda boleh mengajukan persoalan tersebut kepada guru atau rakan sekelas. Bagi mengukuhkan pemahaman tatabahasa yang dipelajari, disarankan agar meluangkan masa selama tiga jam dalam seminggu untuk membuat latihan tatabahasa di dalam buku teks, buku latihan, aplikasi yang memfokuskan bahasa  seperti Duolingo, Memrise, Busuu, Babbel, LinguaLift, Rosetta Stone, Mindsnacks). 

Aspek pendengaran dan pertuturan merupakan kemahiran bahasa yang terangkum dalam pembelajaran bahasa asing. Disyorkan agar anda kerap mendengar percakapan, perbualan atau sebutan penutur natif menerusi filem, lagu, cakera padat, audio siar (podcast), aplikasi bahasa dalam telefon pintar atau melalui laman web. Inisiatif ini penting bagi memperbaik cara sebutan, mengetahui struktur ayat yang digunakan dan meningkatkan kefahaman butiran yang dituturkan oleh penutur natif. 

Penulisan berfungsi menyampaikan maklumat dan menyebarkan pengetahuan yang baharu. Oleh itu, sebelum memulakan penulisan, anda disarankan untuk memahami terlebih dahulu peraturan tatabahasa asing yang dipelajari dan memperoleh kosa kata yang mencukupi. Untuk menguasai aspek penulisan, biasakan diri untuk membaca teks pendek, buku cerita pendek, majalah, surat khabar yang dapat diperoleh dalam bentuk salinan keras, secara dalam talian mahupun aplikasi dalam telefon.  

 

(Dipetik dan diolah daripada Dewan Siswa, Peluang Pekerjaan Menerusi Penguasaan Pelbagai Bahasa.) 

Sample F3 : Ringkasan