Sample S5 Teks Tunggal
Manusia secara semula jadi mempunyai tarikan terhadap muzik. Seni muzik digubah bagi menghiburkan orang ramai melalui irama yang menarik. Seni muzik dapat menghasilkan lagu yang sedap didengar dan dapat dipersembahkan dengan pelbagai cara.
Salah satu seni muzik yang masih diminati sehingga kini ialah seni muzik Melayu tradisional. Walaupun generasi muda sekarang meminati muzik Barat dan K-Pop, seni muzik tradisional Melayu masih mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat Melayu kita kerana keunikannya. Namun demikian, seni muzik tradisional sentiasa berubah-ubah mengikut aliran zaman.
Pada zaman dahulu, seni muzik tradisional dipersembahkan di istana untuk hiburan kerabat diraja. Terdapat pelbagai jenis alat muzik Melayu tradisional yang digunakan dalam persembahan tersebut. Antaranya ialah gendang, kompang, serunai, rebana, gong dan lain-lain. Alat-alat muzik ini digunakan dalam persembahan seni muzik secara selang seli bagi merancakkan lagi persembahan tersebut.
Kini, dengan adanya pengaruh daripada budaya lain, seni muzik Melayu mengalami perubahan. Persembahan seni muzik tradisional dipertontonkan kepada semua golongan masyarakat semasa pelbagai acara hiburan. Alat-alat muzik tradisional masih terus digunakan tetapi alat-alat muzik moden seperti piano, biola, gitar dan sebagainya turut disertakan supaya mendapat sambut penonton. Unsur teknologi juga digunakan bagi membuat irama dan lagu itu lebih menarik. Hal ini sejajar dengan tujuan seni muzik iaitu untuk menyenangkan hati seseorang.
Ternyata seni muzik dapat memberi kesan dalam kehidupan masyarakat kita. Muzik dapat dipersembahkan melalui pelbagai cara sama ada secara langsung atau melalui media. Muzik juga boleh menjadi alat untuk menyebarkan nilai-nilai mulia. Justeru, kita harus memastikan seni muzik tradisional Melayu terus kekal agar generasi akan datang dapat menikmati dan menghargainya. Oleh itu, dari sekarang, setiap individu tidak kira yang muda ataupun yang tua, harus bersama-sama menjaga warisan ini.
