Sample S6 Teks Tunggal
Kefahaman 1
Arahan: Baca petikan karangan yang berikut dengan telili.
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan kita. Malahan, tidak keterlaluan kalau dikatakan pembentukan sebuah masyarakat adalah berperanan daripada wujudnya jiran, iaitu orang yang tinggal bersebelahan, berhadapan, di belakang atau di sekeliling kita. Pendek kata, setiap individu yang berada dalam masyarakat akan hidup dikelilingi oleh jiran.
Nilai hidup berharmoni telah lama dipupuk dalam kalangan rakyat di Singapura. Nilai ini diamalkan menerusi kegiatan-kegiatan yang melibatkan jiran tetangga yang terdiri daripada berbilang kaum. Antara kegiatan yang dapat dilihat, adalah seperti majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan bersama jiran tetangga, bertukar-tukar juadah dan mengundang jiran tetangga untuk menjamu selera pada musim perayaan. Perkara ini membuktikan bahawa hubungan erat antara kaum telah lama terjalin menerusi aktiviti-aktiviti yang melibatkan jiran tetangga antara kaum yang berlainan bangsa dan agama.
Semangat kejiranan ini sangat penting kerana perhubungan erat serta kerjasama dapat dijalinkan. Sikap sombong dan mementingkan diri sendiri tidak patut ditunjuk dalam kehidupan bermasyarakat. Sampai bilakah kita boleh menunjukkan sikap begini jika pada suatu hari nanti, kita sendiri memerlukan pertolongan orang lain. Tidak ada orang yang boleh hidup bersendirian dalam dunia ini. Sekiranya kita ditimpa bencana atau musibah, pertolongan jiran tetangga amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara.
Walaupun nilai-nilai positif diterap dalam kalangan rakyat negara ini, masih terdapat pertelingkahan berlaku antara jiran tetangga. Pertelingkahan yang biasanya berlaku dalam kalangan jiran tetangga adalah seperti tidak berpuas hati dengan perbuatan jiran yang menjemur pakaian yang tidak diperah, mengotorkan koridor serta berbuat bising pada waktu malam. Biasanya, pertelingkahan seperti ini berakhir dengan campur tangan daripada pihak polis manakala pihak yang didapati bersalah akan disaman ataupun dipenjarakan. Pertelingkahan seperti ini dapat dielakkan jika setiap individu mengamalkan sikap toleransi. Nilai ini amat penting dalam memastikan keharmornian kaum di dalam masyarakat majmuk. Sikap ini perlu terus disemai bagi memastikan kehidupan berjiran aman dan harmoni.
Oleh itu, soal kejiranan memang tidak boleh dipandang mudah. Sama ada kita sedar atau tidak, sudah menjadi suatu realiti kehidupan pada hari ini bahawa kita semua rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami dan saling mengeratkan hubungan.
