Teks Tunggal 2_MY Copy

KEFAHAMAN 2

Nasi lemak merupakan makanan kegemaran orang-orang Melayu. Biasanya, ia dimakan sebagai sarapan. Namun begitu, jika kita pergi ke gerai-gerai makanan, kita akan melihat nasi lemak dijual sepanjang hari. Nasi lemak bukan sahaja digemari oleh orang-orang Melayu bahkan bangsa-bangsa lain termasuk pelancong-pelancong dari Eropah, Jepun dan sebagainya.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan nasi lemak ialah beras, santan daripada kelapa parut, serai, halia dan sebagainya. Sambal tumis juga disediakan untuk dimakan bersama nasi lemak. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sambal tumis ialah cili kering, bawang, serai, belacan, asam dan sebagainya. Sambal tumis ini akan bertambah enak jika dimasak bersama ikan bilis. Bahan-bahan sampingan lain seperti timun, telur dan ikan goreng juga boleh disertakan dalam hidangan nasi lemak.

Pada amnya, nasi bagi nasi lemak tersebut dimasak dengan santan. Namun kini, ada yang telah mengubahsuai resepinya dengan menggantikan santan dengan susu. Walaupun rasanya dikatakan tidak selazat resepi aslinya, nasi lemak yang menggunakan susu dikatakan lebih berkhasiat dan sesuai bagi mereka yang menghidap kolestrol tinggi.

Pada masa dahulu, nasi lemak dibungkus di dalam daun pisang. lni menambahkan keenakan rasanya. Sekarang, kita jarang dapat nasi lemak yang dibungkus dalam daun pisang. Malah, nasi lemak disediakan dalam pinggan-pinggan atau bekas-bekas plastik.

Apa yang menyenangkan hati ialah nasi lemak ini mudah disediakan dan murah harganya. la juga senang didapati di gerai-gerai makanan di merata negara kita.