Teks Tunggal 7_MY Copy
Memang sukar mengajak orang bersenam walaupun mereka tahu manfaatnya. Hasil kajian para saintis mendapati bersenam secara tetap sebenarnya boleh meningkatkan kecerdasan minda. Kajian yang dijalankan ke atas tikus mendapati bersenam boleh merangsang penghasilan neuron dalam bahagian ingatan pada otak haiwan itu. Tikus yang ‘disuruh’ bersenam di atas roda bergerak belajar teknik baharu dengan lebih baik berbanding tikus yang banyak berehat. Hasil kajian sebulan itu mendapati tikus tua yang bersenam menunjukkan prestasi sebaik tikus muda, manakala tikus tua yang tidak bersenam ‘terlupa’ di mana letaknya platform itu.
Para saintis juga percaya senaman mampu memberi kesan yang sama kepada golongan tua untuk merangsang daya fikiran mereka dan memperlahankan masalah pelupa yang sering berlaku apabila umur meningkat. Senaman sebenarnya merangsang otak untuk bekerja kerana menyebabkan sel saraf berganda, menguatkan hubungan antara sel dan melindunginya daripada mengalami kecederaan. Semua ini akan memberikan manfaat kepada golongan tua. Malah seorang pakar perubatan menjelaskan bahawa senaman seumpama makan ubat. Jika diambil dengan tepat dan sesuai, ia mampu mengubati sesuatu penyakit pada kadar yang seperti diharapkan. Jika tidak diambil dengan tepat, ia akan memudaratkan.
Semakin meningkat umur, organ kita turut mengalami penuaan dan fungsi otak boleh menurun jika tidak dilindungi. Senaman aerobik sederhana juga didapati boleh melindungi otak daripada mengalami kemerosotan sehingga menjejaskan daya ingatan seperti dialami pesakit dementia atau Alzheimer. Senaman lebih penting bagi orang tua untuk menguatkan tulang dan mengelakkan masalah keretakan tulang serta mampu mengatasi masalah sukar tidur. Selain menjaga pemakanan, senaman ialah pelaburan terbaik untuk mengekalkan kesihatan. Pelaburan ini juga mudah dan memberi banyak manfaat yang tidak memerlukan wang.
