Teks Tunggal 8_MY Copy
Pemanasan global menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir. Kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia.
Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar.
Selain itu, kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir.
Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak ketika bersenam atau beriadah, ini akan menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak. Kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Pemeliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor, kita dapat membantu mengawal pemanasan global.
