Y7MFL Kefahaman 1 Latihan 13 Foundation Malay

Malik dan Halim merupakan rakan karib. Pada petang itu, mereka berdua berjalan pulang dari sekolah. Mereka baru sahaja selesai menghadiri kelas tambahan kerana mereka akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tidak lama lagi. Mereka berjalan sambil berbual-bual. Tiba-tiba, mereka ternampak seorang wanita tua terjatuh di lintasan zebra kerana tergelincir.

Malik dan Halim pun bergegas ke arah wanita tua itu. Dia terduduk di tengah lintasan zebra sambil memegang lututnya yang cedera. Kenderaan pun tidak dapat bergerak kerana wanita tua itu terduduk di situ. Malik cepat-cepat memberikan isyarat tangan untuk menarik perhatian para pemandu agar mereka tidak memandu dengan laju.

Malik dan Halim pun memapah wanita tua itu dan membawanya ke tempat pejalan kaki yang berdekatan. Mujurlah, wanita tua itu dapat bergerak dengan perlahan. Malik mencadangkan untuk membawa wanita tua itu ke klinik untuk diperiksa doktor.

“Bolehkah kamu telefon anak saya? Ini nombor telefonnya. Dia akan bawa saya ke klinik. Terima kasih kerana telah menolong saya,ya.” wanita tua itu bersuara.

Tidak lama kemudian, anak wanita tua itu pun tiba. Lega rasa hati Malik dan Halim.