Sample F4: Sajak – Sang Gembala Kuda

TINGKATAN 4 : PEMBELAJARAN MINGGU KE-6

Sajak – Sang Gembala Kuda [9 markah]

Baca bahan-bahan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.

 

Bahan 1

Sang Gembala Kuda

Dia lelaki bergelar perkasa

dengan cemeti keberanian di tangan

rembat angkuhnya memacu takut

menghalau kuda-kuda di padang

berebutan memburu kandang.

Rumput dan jerami terhidang

adalah kanun janji kesetiaan 

dimamah rakus kala lapar

tak peduli nasib diri setelah kenyang

jadi tunggangan memburu rakan.

Dia lelaki punya kuasa

sesekali suaranya lebih gempita

daripada ringkik kuda sekandang

pacuannya diiring seribu keberanian

meredah onak di rimba perburuan

meranduk lumpur di paya penindasan

sambil melibas cemeti durjana

dia melempar muslihat

aku penyelamat maruah

berjuang atas dasar kebenaran

menentang semua kebobrokan. 

Dia lelaki sang gembala kuda

hanya mengenal pantas tunggangan

tanpa membaca keletihannya

dia lelaki sang gembala kuda   

hanya tahu mengejar kehebatan

tanpa menghitung kesakitannya

dan kuda-kuda itu ditunggangi

ditunggangi dan ditunggangi!  

(Dipetik dan diubah suai daripada sajak “Sang Gembala Kuda” antologi Jaket Kulit Kijang, Tingkatan 4, Kementerian Pendidikan Malaysia) 

 

Bahan 2

      Salah satu faktor utama di sebalik kekejaman haiwan adalah kekurangan empati dan hilang rasa hormat terhadap makhluk lain. Sesetengah individu melihat haiwan sebagai objek tanpa emosi dan hak semata-mata sehingga membawa kepada penganiayaan mereka. Kekurangan empati ini wujud dalam pelbagai bentuk, termasuk pengabaian dan penderaan fizikal. Hal ini lebih buruk apabila stigma masyarakat dan norma budaya mengekalkan tanggapan bahawa haiwan sukar untuk dijaga dan boleh menyebabkan perabot rumah rosak dan berbau busuk dan bukannya makhluk hidup yang berhak mendapat belas kasihan dan perlindungan.

      Faktor ekonomi juga memainkan peranan penting dalam mendorong kekejaman ke atas haiwan. Dalam industri seperti penternakan kilang dan ujian haiwan, keuntungan sering diutamakan daripada kebajikan haiwan. Haiwan yang dibesarkan untuk makanan atau digunakan dalam eksperimen berada dalam keadaan yang terlalu sesak dan tidak bersih, kehilangan tingkah laku semula jadi, dan terdedah kepada prosedur yang menyakitkan tanpa anestesia yang mencukupi. Permintaan untuk daging, tenusu dan produk pengguna yang murah juga menyemarakkan lagi amalan kejam ini.

(Dipetik dan diubah suai daripada laman sesawang Penang Institute “Penderaan Haiwan dan Punca”)

 

Sample F4: Sajak – Sang Gembala Kuda